Skip to content. | Skip to navigation

Sections
Personal tools
You are here: Home Go Blog Dimana Sharlinie?
Log in


Forgot your password?
New user?
 

Dimana Sharlinie?

— filed under: , ,

Tolong cari kanak-kanak ini

 

Dimana Sharlinie?

Mencari Sharlinie - Utusan Malaysian

Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa diculik kira-kira pukul 11.30 pagi. Ketika itu mangsa sedang leka bermain bersama kakaknya, Sharliena yang berusia lapan tahun.

Menurut beliau, ketika hilang, mangsa yang mempunyai tiga adik-beradik memakai baju-T dan skirt berwarna biru muda serta selipar warna merah jambu.

Janji ibu bapa Sharlinie kepada penculik

PETALING JAYA 13 Jan. – Ibu bapa Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang masih marah dan sedih atas kehilangan kanak-kanak tersebut berjanji tidak akan berdendam dengan penculik anak mereka itu.

Sebaliknya ibu Sharlinie, Suraya Ahmad ketika membuat rayuan kepada penculik berkenaan dalam nada sebak dan beberapa kali mengesat air mata di pipi di sisi suaminya, Mohd. Nashar Mat Hussain berkata:

“Kami cuma mahukan Linie selamat. Pulangkanlah anak kami, kami sangat rindukan dia... tolonglah kamu (penculik) pulangkan Linie.

“Memanglah kami masih marah (dengan apa yang terjadi), mana ada ibu yang boleh terima anaknya diculik orang.

“Tapi kalau kamu (penculik) pulangkan Linie dengan selamat, kami janji tak akan berdendam dengan kamu, kami cuma nak anak kami... itu saja yang kami harapkan, kasihanilah kami.”

Ketika Suraya ditemu bual oleh wartawan, Mohd. Nashar tidak berkata apa-apa tentang rayuan isterinya itu.

Tubuh badannya kelihatan sangat lemah kerana keletihan berjaga dan ‘ke sana ke mari’ sejak empat hari lalu manakala raut wajahnya jelas menunjukkan kemurungan, kesedihan dan kekecewaannya.

Sepanjang hari ini para pemberita ‘hampa’ tidak mendapat sebarang kenyataan daripada Mohd. Nashar yang sekadar menjawab “no comment (tiada komen), no comment.”

Namun apabila Suraya menangis teresak-esak di hadapannya sambil memberitahu wartawan tentang rayuannya kepada penculik supaya memulangkan Sharlinie, Mohd. Nashar mengangguk-angguk tanda setuju apa diperkatakan isterinya itu.

Dalam pada itu, Suraya yang tidak menang tangan melayani wartawan dan pemimpin yang mengunjungi mereka berkata:

“Kami sekeluarga merindui Linie dan harap dapat berkumpul semula dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya sambil mengesat air mata.

Mengenai penemuan patung kanak-kanak perempuan kira-kira 100 meter dari rumahnya, Suraya berkata:

“Apa yang saya tahu... patung itu milik anak jiran saya, ia bukan kepunyaan Sharlinie.”

Pulangkan Linie – PM -- Penculik mesti insaf, berani serahkan balik

PUTRAJAYA 12 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini secara peribadi merayu kepada penculik Sharlinie Mohd. Nashar supaya memulangkan kanak-kanak berusia lima tahun itu ke pangkuan keluarganya.

Sambil menyifatkan penculik Sharlinie sebagai manusia kejam dan tidak berhati perut, beliau berharap individu terbabit akan insaf dan peka dengan kemarahan rakyat.

“Orang itu mesti insaf dengan kemarahan rakyat dan berani serahkan balik Sharlinie,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai rayuan peribadinya berhubung kes kehilangan kanak-kanak itu sejak Rabu lalu.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Hari Keluarga Pejabat Perdana Menteri di pekarangan Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, di sini hari ini.

Rabu lalu, Sharlinie diculik ketika bermain bersama-sama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya pada pukul 11.30 pagi.

Polis yang tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan beberapa kes culik di Lembah Klang telah menubuhkan pasukan khas Bukit Aman dan Selangor bagi memburu suspek berkaitan.

Setakat ini, polis yang mengedarkan lakaran suspek terbabit kepada orang ramai menerima petunjuk baru apabila dua penduduk Taman Medan mendakwa ternampak lelaki disyaki di lokasi kehilangan Sharlinie.

Polis, kata Perdana Menteri, sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan kanak-kanak tersebut dan menangkap orang yang bertanggungjawab agar kes itu boleh dibawa ke mahkamah dengan segera.

Abdullah yang bimbang dengan perkembangan kes penculikan kanak-kanak di negara ini menegaskan, usaha mencari Sharlinie mesti diteruskan sampai berjaya.

Perdana Menteri turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa menjaga dan mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kes penculikan kanak-kanak.

“Jangan lepaskan mereka pergi ke kedai seorang diri dan kalau ada yang teman mesti kena perhati dan pegang tangan kanak-kanak itu kerana dikhuatiri ada orang yang memerhati dan mengambil kesempatan apabila ada peluang,” katanya.

Ditanya mengenai suspek dalam kes culik dan bunuh Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang sehingga kini belum berjaya ditangkap oleh polis, Abdullah berkata, beliau percaya pihak polis akan berusaha menahannya tidak lama lagi.

‘‘Cuma kita jangan cepat putus ada, suatu hari nanti dia (suspek) akan ditahan,” katanya.

Penjenayah bagi kes-kes culik melibatkan Allahyarham Nurin Jazlin dan Sharlinie digelar sebagai ‘Abang Kucing’ kerana modus operandi memujuk mangsa mencari kucing dan burung yang hilang.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dalam satu kenyataan kepada Bernama, merayu kepada penculik Sharlinie Mohd. Nashar agar tidak mencederakan kanak-kanak berusia lima tahun itu dan mengembalikannya dengan selamat kepada ibu bapanya secepat mungkin.

Beliau membuat rayuan itu selepas melawat ibu bapa kanak-kanak yang hilang itu di rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya hari ini.

Jeanne turut merayu kepada semua sekolah untuk memaklumkan kepada pelajar pada perhimpunan sekolah dan acara-acara lain, mengenai pentingnya menjaga keselamatan diri.

Sekolah perlu mewujudkan kesedaran yang tinggi mengenai perkara itu dan menasihatkan pelajar mereka supaya berhati-hati pada setiap masa, katanya.

Mereka perlu sentiasa mengingatkan pelajar untuk sentiasa berjaga-jaga dan apa yang perlu mereka awasi walaupun ketika berada di rumah, katanya.

Saya dan suami berdoa Linie Pulang

PETALING JAYA 12 Jan. – Bagi Suraya Ahmad, ibu mangsa culik Sharlinie Mohd. Nashar, 5, ketiadaan anak bongsunya tidur di sisi begitu dirasai sehinggakan dia tidak dapat tidur lena pada setiap malam sejak Rabu lalu.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan anaknya yang diberi nama panggilan manja Linie itu tidur di biliknya dan Linie pula selalu memintanya memeluk sambil mendodoinya sehingga tidur.

“Memang sukar untuk melelapkan mata kerana saya sangat merindui Linie, lebih-lebih lagi sering terfikirkan apa nasib dia sekarang,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini.

Suraya memberitahu, dia dan suaminya, Mohd. Nashar Mat Hussein juga tidak dapat tidur lena kerana perasaan cemas yang membelenggu dan tertunggu-tunggu setiap panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pemberi maklumat.

“Beberapa hari ini kami sangat penat, makan pun tidak berselera, air pun tidak membasahi tekak namun saya dan suami bertekad terus bertahan dengan doa agar Linie pulang ke pangkuan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, ekoran kejadian tersebut, Mohd. Nashar yang bekerja sebagai mekanik diberi pelepasan oleh majikannya untuk menguruskan hal peribadinya.

Dalam kejadian Rabu lalu, Sharlinie diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama-sama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29 Jalan PJ2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya pada pukul 11.30 pagi.

Operasi mencari secara besar-besaran telah dilancarkan polis dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sejak kehilangannya dilaporkan di akhbar tempatan namun sehingga kini masih belum ditemui.

Sharliena amat merindui adik

KUALA LUMPUR 12 Jan. – “Ninie (Sharlinie) dah tak ada, sekarang saya cuma main dengan kakak saja (Nurul Amirah).”

“Saya rindu sangat dengan adik, tolong bagi balik adik saya. Saya selalu main masak-masak, kejar-kejar dengan dia, sekarang dah empat hari dia tak ada.”

Demikian rintihan Sharliena Mohd. Nashar, 8, kakak kepada Sharlinie kepada pemberita di rumahnya di No. 29 Jalan PJ2C/ 11N, Taman Medan, Petaling Jaya di sini hari ini.

Menurut Sharliena, dia kini kesedihan dan berharap adiknya akan segera pulang ke rumah.

Sementara itu, Nurul Amirah juga turut berasa sunyi selepas kehilangan Sharlinie itu.

“Sharlinie dah hilang. Saya selalu main dengan dia, sekarang tak ada gelak ketawa dan tangisan adik saya itu,” ujarnya.

Ibu tidak lena tanpa Sharlinie tidur bersama

PETALING JAYA 12 Jan. - Bagi Suraya Ahmad, ibu mangsa culik Sharlinie, ketiadaan anak bongsunya tidur di sisi begitu dirasai sehingga dia tidak dapat lena pada setiap malam sejak Rabu lalu.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan anaknya yang diberi panggilan manja Linie itu tidur di biliknya dan Linie pula selalu memintanya memeluk sambil mendodoinya sehingga tidur.

“Memang sukar untuk melelapkan mata kerana saya sangat merindui Linie, lebih-lebih lagi sering terfikirkan apa nasib dia sekarang,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini.

Suraya memberitahu, dia dan suaminya, Mohd. Nashar Mat Hussein juga tidak dapat tidur lena kerana perasaan cemas yang membelenggu dan tertunggu-tunggu setiap panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pemberi maklumat.

“Beberapa hari ini kami sangat penat, makan pun tidak berselera, air pun tidak membasahi tekak namun saya dan suami bertekad terus bertahan dengan doa agar Linie pulang ke pangkuan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, ekoran kejadian tersebut, Mohd. Nashar yang bekerja sebagai mekanik diberi pelepasan oleh majikannya untuk menguruskan hal peribadinya.

Dalam kejadian Rabu lalu, Sharlinie diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama-sama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29 Jalan PJ2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya pada pukul 11.30 pagi.

Operasi mencari secara besar-besaran telah dilancarkan polis dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sejak kehilangannya dilaporkan di akhbar tempatan namun sehingga kini dia masih belum ditemui.

 

Document Actions
  • Send this
  • Print this
  • Bookmarks
Please Donate

If you find contents of this website is useful to you, please consider to donate. Proceeds will go towards the site maintenance.